Sep 08, 2025 - FASUntuk segmen Wajah Bola Selangor kali ini, unit media Gergasi Merah berpeluang menemuramah salah seorang tulang belakang dalam pengurusan jualan dan barangan rasmi Selangor FC.
Rata-rata penyokong Merah Kuning pasti tertanya-tanya siapakah individu yang menguruskan penjualan fizikal dan juga online barangan rasmi Selangor FC.
Ikuti perkongsian Wajah Bola Selangor kali ini bersama Shiela A/P Suntharasagaran, pengurus jualan dan barangan rasmi SFC, yang berkongsi kisah perjalanan karier beliau bersama keluarga Merah dan Kuning.
“Nama saya Shiela A/P Suntharasagaran, orang ramai panggil saya Shiela. Saya berusia 36 tahun, merupakan anak sulung daripada dua beradik. Saya merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda jurusan teknologi maklumat perniagaan dari Kolej Antarabangsa YPC,”
“Karier saya dalam dunia bola sepak bermula sejak 10 tahun lalu bersama Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS). Saya banyak terlibat dalam pengurusan liga daripada penjadualan perlawanan, pengurusan padang sehinggalah tempahan lokasi. Datang daripada keluarga yang meminati Selangor terutamanya bapa saya, yang sentiasa membawa saya ke stadium sejak dari kecil, dapat membantu dari segi pengurusan merupakan satu impian,” kata Shiela memulakan ceritanya
“Kemudian, semasa penubuhan Selangor FC, saya diberi kepercayaan dan tanggungjawab baharu untuk menguruskan barangan rasmi kelab, termasuk menguruskan laman web rasmi, Team Card, pas bermusim, jersi serta kesemua barangan rasmi yang lain. Secara jujurnya, ini bukanlah perkara baru untuk diri saya kerana saya juga mempunyai pengalaman dalam bidang ini. Saya gembira pihak pengurusan berikan kepercayaan itu sehingga kini,” tambahnya lagi
“Sepanjang bekerja di bawah pengurusan barangan rasmi kelab, antara pengalaman yang sering menjadi momen yang genting adalah pelancaran jersi baharu. Banyak perkara perlu dirancang dan disusun dengan teliti bagi memastikan segalanya berjalan dengan lancar. Bermula dengan pengurusan Team Card, pas bermusim, pengiraan stok, penjualan fizikal dan online, serta kemaskini laman web rasmi. Semua ini perlu diatur bagi memastikan para penyokong mendapat pengalaman pengguna yang terbaik,” katanya.
Sepanjang penglibatannya, SFC telah menjalinkan pelbagai kolaborasi bersama jenama luar seperti Playaz, G-Shock, SVG, Voltra, Khind dan banyak lagi, khususnya bagi produk edisi terhad seperti jersi, baju lifestyle, kasut, jam tangan dan barangan elektrik.
“Bagi saya barangan rasmi SFC bukanlah sekadar produk, tetapi simbol penyatuan bersama penyokong. Dengan pembelian barangan SFC, setiap daripadanya membantu kami untuk membuat penambahbaikan dari masa ke semasa. Jadi, kami amat meinitk beratkan barangan yang dikeluarkan kerana itu adalah sebahagian daripada identiti kelab,” ujar beliau.
“Kami berusaha untuk meluaskan lagi penjualan barangan rasmi dengan membuka kedai di acara-acara rasmi negeri Selangor agar para penyokong yang jauh dari Petaling Jaya turut dapat membelinya. Dalam masa yang sama, penjualan pop-up store, laman web rasmi dan juga platform TikTok diteruskan seperti biasa. Selain itu, bagi memudahkan para penyokong, sistem Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL) diperkenalkan di laman web rasmi, yang membolehkan penyokong membuat bayaran secara ansuran untuk mendapatkan barangan rasmi Selangor FC.” tambah Shiela.
Bagi Shiela para penyokong wajib ada sekurang-kurangnya jersi dan mafla kerana itu sudah cukup untuk orang ramai mengenali mereka sebagai penyokong Gergasi Merah, walaupun dari jauh.
Buat masa ini, sebuah kedai kecil di stadium sudah mula beroperasi sebagai persediaan awal sebelum kedai barangan rasmi yang lebih besar akan dibuka
Biarpun tugas hariannya memerlukan banyak tenaga dan masa, Shiela tidak pernah mengeluh, “Orang selalu cakap saya kerja terlampau kuat, tetapi bagi saya hasil kerja itulah kepuasan. Saya sentiasa pantau kerja dengan teliti dan boleh dihubungi bila-bila masa jika berkaitan dengan barangan rasmi SFC,” katanya lagi.
Mengakhiri perbualan, Shiela menzahirkan ucapan penghargaan kepada para penyokong yang sentiasa hadir ke pop-up store dan stadium untuk mendapatkan barangan rasmi SFC. Beliau turut berterima kasih kepada adiknya yang memahami kesibukan kerjanya, serta pihak pengurusan yang telah memberikan kepercayaan untuk terus berbakti sehingga kini.
Bagi Shiela, bekerja di sebalik tabir bersama Selangor FC merupakan sebuah perjalanan penuh makna, terutamanya apabila dapat membuat para penyokong gembira dan bangga dengan identiti Gergasi Merah.
Merah Kuning Lambang Kebangaan!
Shiela A/P Suntharasagaran
Pengurus Jualan dan Barangan Rasmi SFC